Sunday, 5 January 2014

Berita Menarik Tentang Bandar Tangkak

ORANG ramai tidak melepaskan peluang memilih kain yang dijual dengan harga murah pada Majlis pelancaran Festival Tekstil Tangkak 2011 di Tangkak, Ledang, Johor, baru-baru ini.


TANGKAK 10 Mac – Kemasyhuran Tangkak sebagai destinasi membeli-belah tekstil sememangnya sudah menjadi sebutan, malah pada tahun 90-an, bandar ini mampu menarik kehadiran kira-kira 50 buah bas pelancong setiap hari bagi membawa pembeli dari seluruh negara.

Biarpun peredaran masa menyaksikan banyak perubahan, kedai-kedai kain di bandar ini masih lagi utuh dan bandar ini terus terkenal dengan kepelbagaian produk tekstilnya.

Bagi memeriahkan suasana dan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di daerah Tangkak, Kementerian Pelancongan dengan kerjasama Majlis Daerah Tangkak menganjurkan Festival Tekstil Tangkak 2011 untuk mempromosikan lagi bandar ini sebagai ‘syurga kain’.
Sempena festival selama empat hari baru-baru ini, Jalan Paya Mas ditutup bagi memberi peluang kepada para pengunjung membeli-belah di lebih 30 premis tekstil di bandar ini.

Kepuasan pastinya dirasai oleh pembeli kerana menerusi jualan lelong, harga kain ditawarkan dengan harga diskaun sehingga 80 peratus, malah ada yang dijual RM1 semeter.

Tidak cukup dengan itu, pengunjung juga dipertontonkan dengan pertunjukan fesyen serta persembahan artis terkenal tanah air.

Festival Tekstil Tangkak 2011 dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hoo Seong Chang dan Pegawai Daerah Ledang, Amran Abdul Rahman.

Yen Yen yakin penganjuran festival tersebut mampu melonjakkan lagi bandar Tangkak sebagai salah satu destinasi pelancongan menarik di negara ini, terutamanya sebagai destinasi tumpuan membeli-belah tekstil.
“Pada tahun 1990-an, bandar Tangkak memang cukup terkenal dengan produk dan jualan kainnya. Bagaimanapun, oleh kerana ada persaingan dengan bandar lain, suasana kini agak berubah namun saya yakin dengan kelebihan yang ada di sini. Kita akan hidupkan semula bandar Tangkak sebagai bandar tekstil Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, festival itu bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada industri tekstil, malah usahawan produk industri kecil dan sederhana (IKS) turut berkongsi hasilnya.

Menurutnya, Tangkak akan menjadi lokasi pelancongan yang cukup menarik kepada pelancong luar negara, terutamanya dari Singapura yang berminat membeli produk kain dengan harga berpatutan.

“Bukan sahaja kain untuk baju, kain langsir juga banyak ditawarkan. Saya rasa kita perlu ada kesedaran untuk mengajak para pelancong datang ke Tangkak membeli-belah,” katanya.

Sementara itu, Seong Chang yakin festival itu berjaya menaikkan imej bandar Tangkak untuk menarik lebih ramai pelancong.

“Tangkak memang ‘syurga kain’. Saya juga yakin para pelancong tidak hanya terpesona dengan kecantikan dan harga kain yang ditawarkan, malah turut terpikat dengan pelbagai tarikan pelancongan lain di daerah ini, terutamanya keindahan flora dan fauna di Taman Negara Gunung Ledang,” katanya.

Amran pula memberitahu, festival tersebut berjaya menarik 10,000 pengunjung membeli-belah serta menyaksikan pelbagai aktiviti dan persembahan kebudayaan yang diadakan.

“Memang menjadi hasrat penganjuran festival ini untuk mengembalikan semula kegemilangan Tangkak sebagai destinasi membeli-belah tekstil yang cukup terkenal pada tahun 1990-an.

“Walaupun tumpuan kini agak berkurangan kerana kemunculan tempat membeli-belah yang baru seperti di Nilai, Negeri Sembilan, namun kami yakin Tangkak mempunyai keunikan tersendiri untuk terus menarik para pengunjung,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0311&pub=Utusan_Malaysia&sec=Johor&pg=wj_01.htm#ixzz2p2opFH00
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment